Monday, August 16, 2010

JEREBU

Fenomena jerebu yang melanda negara kita kini semakin serius dan berleluasa.Hal ini menyebabkan langit kelihatan mendung,jarak penglihatan jauh,pernafasan menjadi sesak dan sebagainya.Terdapat beberapa punca yang menyebabkan berlakunya jerebu,antaranya pembakaran hutan,pembebasan asap oleh kilang-kilang,pengeluaran gas oleh kenderaan serta pembakaran secara terbuka.Fenomena jerebu menyebabkan timbulnya kesan yang terdiri daripada kesan jangka pendek dan kesan jangka panjang.Justeru,langkah-langkah yang efektif perlu dirancang lebih awal bagi menghadapi masalah jerebu.

KESAN-KESAN JEREBU

IMPLIKASI KESIHATAN

Kesan jangka pendek yang ketara ialah implikasi kesihatan.Jerebu mengandungi gas-gas yang merbahaya seperti nitrogen dioksida,sulfur dioksida,dan karbon dioksida.Gas-gas ini dan zarah terampai akan memasuki badan kita melalui pernafasan.Situasi ini akan menyebabkan mangsa diserang penyakit lelah,asma,sakit tekak, selesema,pedih mata,bronkitis dan sebagainya.Dalam kes yang lebih teruk,bendasing akan merosakkan tisu paru-paru,menghalang fungsi sel hemoglobin,dan seterusnya merosakkan sistem pernafasan.Selain itu,bahan-bahan seperti plumbum boleh menyebabkan kromosom mengalami mutasi.Di samping itu,zarah pencemar boleh menjejaskan kecerdasan otak terutamanya kanak-kanak yang sedang membesar.Bahan hidrokarbon yang dibawa oleh jerebu boleh mencetuskan kanser dan menyebabkan kerosakan otak.

DARJAH PENGLIHATAN YANG RENDAH
Fenomena jerebu juga mengakibatkan masalah penglihatan yang rendah.Masalah ini dapat dibuktikan melalui kejadian jerebu yang berlaku di bandar Kuching apabila darjah penglihatan hanya 5 meter sahaja ketika dilanda jerebu pada tahun 1997.Darjah penglihatan yang rendah boleh mengakibatkan kemalangan udara,darat dan laut yang ngeri.Kesan ini juga dapat dibuktikan apabila dua buah pesawat penumpang hampir-hampir berlanggar semasa berlakunya jerebu pada bulan September 1992 kerana pandangan juruterbang tersekat ketika melintasi Kuala Lumpur.Selain itu,pada tahun 1997 sebuah pesawat terhempas di Medan,Indonesia akibat daripada jerebu yang telah menyebabkan penlihatan juruterbang tersekat.Malaysia juga tidak terkecuali daripada mengalami kejadian jerebu yang teruk apabila kerajaan terpaksa mengisytiharkan darurat di beberapa tempat yang dilanda jerebu pada tahun 2005.Di samping itu,kapal juga terdedah kepada risiko kemalangan dalam keadaan cuaca buruk.Hal ini dapat dilihat apabila beberapa kes pelanggaran kapal kargo berlaku di Selat Melaka.Trajedi ini bukan sahaja mengakibatkan nyawa terkorban tetapi jga menyebabkan berlakunya pencemaran alam yang serius.

EKONOMI NEGARA TERJEJAS

Salah satu kesan jangka panjang akibat jerebu ialah ekonomi negara akan terjejas.Kesan ini dapat dilihat apabila pembatalan penerbangan kapal terbang terpaksa dibuat akibat kejadian jerebu.Salah satu syarikat penerbangan yang mengalami kerugian besar akibat pembatalan penerbangan ialah Syarikat Penerbangan Malaysia(MAS).Selain itu,kilang perindustrian,kuari,dan sektor pembinaan terpaksa menghentikan operasi.Tambahan pula,industri pelancongan juga turut terkena tempias akibat jerebu apabila pelancong membatalkan lawatan ke Malaysia.Di samping itu,pekerja-pekerja yang yang bekerja di luar pejabat mungkin terpaksa mengambil cuti demi kebaikan kesihatan mereka.Para nelayan juga tidak keluar kelaut kerana keselamatan dan kesihatan tidak terjamin.Penjaja-penjaja di tepi jalan juga tidak dapat menjalankan aktiviti perniaagaan mereka akibat jerebu.Hal ini mengakibatkan sumber rezeki dan pendapatan terjejas serta pengusaha mengalami kerugian besar.

HASIL DAN KUALITI PERTANIAN TERJEJAS

Jerebu juga telah mengakibatkan hasil dan kualiti sektor pertanian terjejas.Hal ini berlaku apabila jerebu menghalang kepadatan cahaya rendah yang diperlukan oleh tanaman untuk membesar.Kadar pancaran cahaya yang rendah mengurangkan proses fotosintesis tanaman.Hal ini menyebabkan tempoh matang tanaman menjadi lebih panjang.Selain itu,aktiviti serangga pemangsa juga terjejas seterusnya menyebabkan letusan populasi makhluk perosak akan berlaku.Justeru,pendebungaan juga akan terganggu.Gejala seumpama ini telah menyebabkan hasil pertanian negara terjejas sebanyak 30 peratus.Lantaran itu,hasil dan kualiti tanaman akan merosot.


LANGKAH-LANGKAH MENGATASI MASALAH JEREBU
MENDIDIK MASYARAKAT

Langkah yang paling efektif bagi mengatasi masalah jerebu ialah dengan mendidik masyarakat.Media massa harus memainkan peranan menyiarkan kesan-kesan yang timbul akibat jerebu.Melalui langkah ini,masyarakat akan lebih memahami dan menyedari tentang kesan-kesan gejala tersebut.Oleh itu,masyarakat akan lebih bertanggungjawab dan menitikberatkan setiap kegiatan yang dilakukan oleh mereka misalnya tidak membakar sampah secara terbuka.Seruan kerajaan untuk menghijaukan alam,menggunakan petrol tanpa plumbum,dan sebagainya juga akan mendapat sambutan dan sokongan daripada masyarakat.Orang ramai juga akan memberikan kerjasama dengan menghubungi atau melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ada pihak yang mencetuskan maslah ini.

MENGURANGKAN PENGELUARAN ASAP PENCEMAR

Salah satu langkah yang penting bagi menangani masalah jerebu ialah mengurangkan pengeluaran asap pencemar.Kempen berkongsi kereta akan mengurangkan bilangan kenderaan di jalan dan langkah ini juga akan mengurangkan pengeluaran asap pencemar yang dibebaskan oleh kenderan.Penggunaan petrol tanpa plumbum dan pemasangan alat penukar bermangkin akan dapat mengurangkan asap pencemar kenderaan.Alat penukar bermangkin berfungsi sebagai alat yang menukarkan hidrokarbon dan nitrogen dioksida kepada karbon dioksida,nitrogen dan wap air yang tidak berbahaya.Selain itu,motosikal berenjin dua lejang harus diharamkan dan digantikan dengan motosikal berenjin empat lejang.Di samping itu,gas pencemar kilang industri juga mesti dikurangkan dengan penggunaan teknologi tinggi agar tidak mencemari atmosfera.Oleh yang demikian,pengeluaran gas beracun dapat dikurangkan.

KERJASAMA ANTARABANGSA

Salah satu langkah yang tidak kurang pentingnya untuk mengatasi masalah jerebu ialah kerjasama antarabangsa.Kerjasama ini diperlukan untuk memadamkan kebakaran hutan.Kerajaan Indonesia harus mengawal kebakaran hutannya dengan ketat.Selain itu,Indonesia juga harus mementingkan kemajuan bersama negara jiran yang lain.Di samping itu,satu tabung kewangan untuk membeli alatan pemadam api yang canggih boleh diwujudkan dalam kalangan negara ASEAN.Alatan itu boleh dikongsi bersama untuk memadamkan api hutan.Penghantaran tentera,ahli bomba,dan pakar ke Indonesia untuk memadamkan kebakaran hutan merupakan kerjasama yang baik.Negara maju juga perlu membantu dengan menghulurkan bantuan kepakaran dan teknologi memadamkan api.Sikap negara Barat yang berpeluk tubuh menyaksikan kebakaran hutan di Indonesia selama beberapa bulan lamanya perlu dikikis.

1 comment:

  1. mintak izin tuan blog, saye nak copy paste content yang berguna di blog saya :

    http://www.duadz.com/

    ReplyDelete